This post is also available in:
English
Bengali

Ditulis oleh Tasfia Tarannum Ridita dan Abdullah Hel Bubun
Di Bangladesh, ruang digital sering mencerminkan prasangka masyarakat, meletakkan kumpulan terpinggir dalam risiko yang besar. Dalam sebuah negara di mana hubungan sama jenis dijenayahkan dan gender dilihat melalui lensa binari yang terlalu ketat, individu transgender dan hijra berdepan dengan salah faham yang meluas. Filem Echoes of Exile menyoroti bagaimana identiti transgender sering disamakan dengan ciri-ciri interseks, sekali gus mengabaikan konsep gender sebagai satu konstruki sosial. Perbezaan antara identiti dan biologi juga diketepikan. Kesalahfahaman ini mengukuhkan lagi stereotaip berbahaya, memperdalam stigma dan menjadikan individu kepelbagaian gender, termasuk komuniti hijra, lebih terdedah kepada keganasan dalam talian serta kebencian di dunia nyata.
Isu ini turut tercermin dalam perjuangan Babuni dan Nishi dari filem Echoes of Exile. Babuni, seorang hijra berusia 42 tahun yang juga merupakan pekerja sosial, telah menjadi sasaran ekstremisme dalam talian. Nishi, seorang lagi individu hijra, terpaksa melarikan diri dari rumah setelah gambarnya memakai pakaian feminin tersebar dalam talian. Kedua-duanya berdepan dengan penolakan masyarakat dan keganasan digital, yang memberi gambaran tentang bagaimana kebencian dalam talian membawa kepada pengasingan serta bahaya dunia sebenar.
Individu transgender dan hijra di Bangladesh menghadapi cabaran yang amat besar. Meskipun mereka telah diiktiraf sebagai gender ketiga sejak tahun 2013, mereka masih lagi terpaksa berdepan dengan peminggiran sosial dan pengabaian undang-undang.
Corak dan Impak Keganasan dalam Talian
Dalam beberapa tahun kebelakangan, identiti dan ekspresi transgender telah menjadi isu kontroversi dalam politik Bangladesh, mencetuskan perdebatan sengit antara kumpulan konservatif dan progresif. Pempolitikan hal ini telah mendorong kempen keganasan terhadap individu transgender dan hijra, baik di ruang digital mahupun fizikal, yang sering digambarkan sebagai penentangan terhadap “pengaruh Barat” atau “keruntuhan budaya.” Kempen-kempen ini memanfaatkan penggunaan teknologi untuk melaksanakan keganasan berasaskan gender dalam pelbagai bentuk, termasuk ucapan kebencian, doxxing, pengintipan siber, ancaman bunuh, kempen maklumat palsu terancang, serta penyebaran kandungan tanpa izin.
Keganasan berasaskan gender yang difasilitasi teknologi (TFGBV) di Bangladesh telah mencorak platform-platform digital seperti Facebook dan Telegram menjadi hab kempen kebencian ekstremis, yang mencetuskan keganasan di dunia sebenar. Advokasi bagi komuniti kepelbagaian gender semakin terjejas, terutamanya selepas pembunuhan aktivis Xulhaz Mannan dan Mahbub Rabbi Tonoy pada tahun 2016, yang memaksa banyak organisasi bergerak secara bawah tanah. Pada tahun 2022, JusticeMakers Bangladesh merekodkan 46 insiden keganasan terhadap individu kepelbagaian gender. Pelbagai institusi juga tidak terlepas daripada serangan berterusan.
Bagi Nishi, impak daripada ini dapat dirasai serta-merta. Penemuan bapanya tentang gambar-gambarnya yang tersebar luas membawa kepada konfrontasi ganas, memaksanya meninggalkan rumah. Bertahun-tahun Babuni berkhidmat untuk komuniti tidak dapat melindunginya daripada gangguan awam yang tercetus akibat kempen kebencian digital, sehingga dia mula mempersoalkan keselamatan kejiranan yang selama ini telah menjadi rumah tempatnya berteduh.
Respons terhadap Krisis
Meskipun peningkatan mendadak dalam keganasan berasaskan gender yang difasilitasi teknologi (TFGBV) membimbangkan, tindakan kerajaan untuk menangani isu ini masih minimum. Walaupun keselamatan digital dan hak asasi manusia termaktub dalam rangka kerja dasar, peringkat pelaksanaannya masih lemah. Organisasi masyarakat sivil (CSO) dan NGO sendiri mengharungi krisis ini yang selalunya mengutamakan keselamatan mereka sebagai keutamaan berbanding usaha advokasi.
Inisiatif sektor swasta dan CSO telah muncul sebagai benteng daya tahan yang penting. Sebahagian kempen memberi tumpuan kepada literasi digital dan latihan keselamatan siber bagi komuniti rentan. Sementara advokasi lain memperjuangkan peraturan yang lebih ketat terhadap ucapan kebencian dalam talian, yang sering berlaku dalam ruang yang tidak demokratik. Namun, usaha-usaha ini masih mempunyai kekurangan dalam skala dan sokongan institusi yang diperlukan dalam memerangi sifat sistemik masalah tersebut.
Melangkah ke Hadapan: Menjamin Kesaksamaan dan Keselamatan Digital
Menangani cabaran digital yang dihadapi oleh komuniti kepelbagaian gender seperti Babuni dan Tithi dari Echoes of Exile memerlukan undang-undang yang lebih tegas terhadap gangguan dalam talian, pendidikan awam untuk merungkai kesalahfahaman, serta kebertanggungjawaban platform media sosial. Usaha kolaboratif bersama NGO dan aktivis boleh membangunkan rangka kerja keselamatan, manakala rangkaian sokongan mestilah menyediakan bantuan guaman, kaunseling, dan tempat perlindungan.
Di Bangladesh, ruang digital membenarkan seseorang mengekspresikan diri tetapi dalam waktu yang sama menjadi pemangkin kepada keganasan terhadap individu kepelbagaian gender, yang memaksa ramai seperti Nishi untuk bersembunyi dan Babuni yang mempertimbangkan untuk meninggalkan rumah yang didudukinya. Platform yang inklusif, tindakan kerajaan, dan kesedaran masyarakat adalah kunci untuk membanteras kebencian serta menjamin keselamatan.
Dan masa untuk bertindak adalah sekarang.