Perintah Berkurung, Kanvas, dan Terpenjara: Harga Sebuah Kemanusiaan dalam Penindasan Digital

This post is also available in: English Bengali

Sebuah grafiti dinding melambangkan Revolusi Julai. Imej melalui halaman Facebook July Graffiti. Digunakan dengan kebenaran.

Ditulis oleh Subinoy Mustofi Eron

Whispers of the Ink karya Ishtiyak Ahmad Zihad, dirakam dalam kesuraman hitam putih yang menggugah emosi, menggambarkan akibat buruk dari sekatan internet semasa protes di Bangladesh pada Julai dan Ogos 2024 yang menggulingkan kerajaan Sheikh Hasina. Filem ini menunjukkan kesan nyata dan mendalam pelanggaran hak digital terhadap kehidupan manusia.

Filem ini menyoroti kepentingan internet sebagai alat komunikasi, protes, mendapatkan rawatan kesihatan, dan hak untuk mendapatkan maklumat, serta memperlihatkan akibat tragis daripada pelanggaran hak ini melalui perjuangan sepasang suami isteri. Rashed, seorang seniman yang menyokong protes melalui media sosial dengan kartun-kartun provokatifnya, berhadapan dengan pelanggaran privasi oleh pihak berkuasa, menunjukkan bagaimana ekspresi seni boleh menjadi liabiliti di bawah rejim autoritarian. Sementara itu, isterinya yang hamil, Runa, cuba untuk mendapatkan rawatan perubatan, memperlihatkan akibat yang berlaku dari penutupan rangkaian komunikasi berasaskan internet membawa kepada ancaman nyawa. Filem ini turut menegaskan kepentingan ruang digital dalam melindungi kebebasan dan kehidupan manusia dengan menunjukkan bagaimana penindasan hak digital membawa kesengsaraan nyata di dunia sebenar.

Hari-Hari Menggemparkan di Bangladesh

Pada Julai 2024, Bangladesh menyaksikan kebangkitan massa, dipelopori oleh para pelajar yang menuntut pembaharuan terhadap sistem kuota pekerjaan kerajaan. Pada mulanya, protes ini tertumpu pada ketidakpuasan tertentu, namun ia berkembang menjadi gerakan nasional berikutan tindakan keras dan ganas oleh kerajaan dan parti pemerintah pada pertengahan Julai. Sekalipun berdepan dengan keganasan melampau, para penunjuk perasaan tetap teguh, mempergiat usaha mereka dan memperoleh sokongan ramai di seluruh negara.

Bagi mengekang kebangkitan rakyat, kerajaan mengenakan perintah berkurung. Kerajaan turut melaksanakan gangguan internet secara meluas dan sekatan media sosial dari 17 Julai hingga 5 Ogos. Gangguan ini berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk penutupan separa rangkaian mudah alih, pendikitan kelajuan internet, dan dalam beberapa keadaan, penutupan internet sepenuhnya. Penutupan internet paling teruk berlaku antara 17 dan 28 Julai, di mana dalam waktu yang berlakunya peningkatan keganasan. Semasa tempoh perintah berkurung dan sekatan internet, lebih daripada 200 orang terkorban. Walaupun penutupan internet bukanlah sesuatu yang aneh di Bangladesh, sekatan kali ini amat ketara kerana kesannya yang dahsyat, menandakan persimpangan tragis antara autoritarianisme digital dan hilangya nyawa awam.

Kisah ini mencerminkan peristiwa nyata seperti Arab Spring dan protes di Hong Kong, di mana media sosial berperanan sebagai platform penentangan dan dalam masa yang sama menjadi sasaran penindasan pihak berkuasa. Melalui watak Rashed yang menggunakan media sosial untuk berkongsi karya seni protesnya, ramai rakyat Bangladesh bergantung pada platform ini untuk menganjurkan pergerakan, berdiskusi, memperjuangkan hak, dan menunjukkan solidariti sepanjang kebangkitan rakyat. Saat media arus perdana berada di bawah kawalan ketat kerajaan, media sosial menjadi saluran penting bagi menyuarakan tuntutan dan memperjuangkan keadilan. Namun, kepentingan media sosial ini dijadikan sasaran utama pengawasan dan penindasan negara, mengakibatkan pemeriksaan telefon di jalanan, penyiasatan akaun media sosial, serta penangkapan berdasarkan tingkah laku dalam talian seseorang.

Foto melalui halaman Facebook July Graffiti. Digunakan dengan kebenaran.

Seni Bina Penindasan: Kawalan Negara dalam Era Digital

Filem ini dengan berkesan menggambarkan akibat yang membimbangkan daripada sekatan yang dikenakan oleh negara, yang berlaku lebih dari sekadar penutupan internet. Tindakan seperti menyekat laman media sosial dan menceroboh privasi rakyat melalui pemeriksaan telefon bimbit di jalanan menjadi elemen penting dalam naratifnya. Peristiwa ini diinspirasi daripada kejadian sebenar, menggambarkan teknik penindasan yang digunakan oleh pasukan keselamatan Bangladesh semasa perhimpunan awam, seperti demonstrasi pra-pilihan raya pada tahun 2023. Pemeriksaan telefon awam secara rawak digunakan untuk mengenal pasti penunjuk perasaan, yang sering berakhir dengan serangan fizikal dan penahanan sewenang-wenangnya—satu pelanggaran hak privasi yang dijamin di bawah Perkara 43 Perlembagaan Bangladesh.

Pakar undang-undang dan organisasi hak asasi manusia telah mengecam tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan. Mereka menegaskan bahawa amalan sedemikian mengabaikan kedaulatan undang-undang dan menyeru supaya pegawai atasan polis dipertanggungjawabkan.

Malah, sebelum tempoh protes lagi, kerajaan telah menyekat para kartunis dan artis kerana karya mereka dengan menguatkuasakan undang-undang yang ketat seperti Akta Keselamatan Siber (CSA) dan Akta Keselamatan Digital (DSA) Bangladesh. Akta Keselamatan Digital, yang dikuatkuasakan pada 2018, dan penggantinya, Akta Keselamatan Siber yang diluluskan pada 2023, telah dikritik secara meluas oleh organisasi hak asasi manusia kerana peruntukannya yang kabur dan meluas, yang secara efektif menjenayahkan banyak bentuk ekspresi dalam talian. Para artis dan kartunis berdepan dengan hukuman penjara kerana ilustrasi anti-rasuah dan anti-kerajaan mereka di bawah undang-undang ini, di mana beberapa individu menghadapi hukuman sehingga 7 tahun penjara atas kandungan yang dianggap “menyinggung” atau “memfitnah” oleh pihak berkuasa.

Dalam protes terbaru, penahanan sewenang-wenangnya yang berlaku secara berleluasa menjadi alat untuk membungkam perbezaan pendapat menjadi amalan biasa di Bangladesh. Pengarah serantau Amnesty International bagi Asia Selatan, Smriti Singh, dengan tegas mengutuk tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai tindakan bermotif politik yang bertujuan menanam ketakutan dan menekan hak asasi. Laporan mengenai penangkapan besar-besaran—lebih daripada 9,000 orang ditahan semasa protes reformasi kuota—serta pendakwaan kabur terhadap kes melibatkan lebih 2.13 lakh individu tanpa nama, menunjukkan skala penindasan yang dilakukan oleh negara. Pihak berkuasa telah mencipta mekanisme untuk mensasarkan penunjuk perasaan, pemimpin pembangkang, dan juga rakyat awam secara sembarangan, sekaligus menanam budaya takut dan menghakis kepercayaan awam dengan mengeksploitasi kelompongan undang-undang.

Hak Digital Adalah Hak Asasi Manusia

Filem karya Zihad memperlihatkan bagaimana sekatan internet dan pelanggaran privasi memberi kesan mendalam terhadap kehidupan individu, terutamanya ketika protes berlangsung. Filem ini mengisahkan kisah emosi pasangan yang menghadapi cabaran melampau semasa krisis politik. Ia menekankan betapa ruang digital berkait rapat dengan realiti kehidupan seharian, menunjukkan kepentingan akses kepada maklumat dan melindungi hak sivil dalam talian. Pemadaman internet dan penahanan individu hanya kerana memiliki karya seni protes—adalah satu bentuk pencabulan privasi—kerajaan bukan sahaja membungkam suara rakyat, tetapi juga menghalang akses kepada perkhidmatan kecemasan, membahayakan nyawa, serta memperdalam ketidaksamaan dan ketidakadilan.