This post is also available in:
English
Bengali

Sinopsis
Hai Anis mengisahkan seorang remaja perempuan sekolah menengah yang terperangkap dalam jaringan berbahaya pemangsa dalam talian. Anis, yang berasa terasing dan tidak mempunyai kawan di sekolah, menerima perhatian daripada Azhar, seorang lelaki yang jauh lebih tua. Azhar membuat Anis berasa selamat dan gembira. Walaupun telah diberi amaran oleh kakaknya, Kak Long, Anis tetap mencari ketenangan dalam kata-kata manis Azhar, panggilan video larut malam, dan pertemuan rahsia mereka.
Namun, apabila hubungan mereka semakin rapat, sikap manipulatif Azhar mula terserlah. Azhar memujuk Anis supaya berkongsi kata laluan media sosialnya atas alasan ingin melindungi Anis, dan secara rahsia mengambil gambar-gambar intim ketika mereka bertemu. Ketika Anis mula mempersoalkan hubungan tersebut, sisi-sisi Azhar yang mengawal dan obsesif mula muncul. Azhar kerap mendesak bahawa mereka akan berkahwin dan menuntut supaya Anis mematuhinya sepenuhnya.
Cerita ini mencapai klimaks apabila Anis, selepas satu momen perdamaian dengan Kak Long, menerima mesej ugutan daripada Azhar melalui telefon Kak Long. Azhar menuntut supaya Anis dikahwinkan dengannya, sambil mengugut akan menyebarkan gambar-gambar peribadi mereka sekiranya Anis enggan.
Hai Anis ialah gambaran yang kuat tentang bagaimana pemangsa dalam talian memanipulasi dan mengeksploitasi golongan muda yang mudah terpengaruh. Ia menekankan bahaya yang semakin meningkat di media sosial dan menjadi peringatan tentang risiko eksploitasi digital terhadap remaja yang terpinggir dan tidak berdaya.
Profil Pengarah

Azura Nasron (28) ialah seorang aktivis keadilan sosial yang memberi tumpuan kepada hak asasi manusia. Beliau memiliki ijazah dalam Sains Politik dan kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam Pengajian Asia Tenggara di Universiti Malaya. Sebagai Pengurus Program di SUARAM, Azura mengetuai inisiatif untuk memansuhkan undang-undang zalim dan mempromosikan hak asasi manusia di Malaysia. Azura juga merupakan Rakan Kongsi di Legal Dignity, sebuah organisasi yang memperjuangkan hak komuniti terpinggir.
Sebagai ahli pengasas Rekod Media, beliau berusaha untuk menormalisasikan wacana politik melalui dokumentari, podcast, dan acara-acara awam. Komitmen Azura terhadap kebebasan akademik serta sumbangannya dalam penerbitan seperti Jurnal Sang Pemula mencerminkan dedikasinya dalam membina masyarakat yang lebih adil dan menentang dasar yang menindas.
Kenyataan Pengarah
Dalam filem ini, saya menyelami isu kritikal berkaitan keselamatan dalam talian, pemangsaan seksual, dan pendidikan seksual, dengan menonjolkan bagaimana pemangsa sering menyasarkan gadis muda yang mudah terpengaruh dengan berpura-pura menawarkan perlindungan dan pemahaman. Melalui perjalanan Anis, filem ini membongkar taktik manipulatif yang digunakan oleh individu seperti Azhar untuk meraih kepercayaan dan mengawal mangsa, sekali gus menunjukkan bagaimana ancaman dalam dunia digital boleh meresap ke dalam kehidupan sebenar. Kisah ini menekankan kepentingan hak digital, persetujuan (consent), dan kesedaran terhadap ancaman tersembunyi yang wujud dalam talian. Melalui titik persilangan antara pengalaman Anis di alam maya dan dunia nyata, saya ingin mencetuskan perbincangan tentang tanggungjawab keluarga, komuniti, dan masyarakat dalam melindungi serta memperkasa golongan muda yang sedang mengharungi dunia yang semakin saling berhubung.

