This post is also available in:
English
Bengali

Sinopsis
Semasa protes yang berlaku di Bangladesh pada Julai 2024, Arif, seorang pekerja gig yang bergantung kepada tongkat untuk bergerak bergelut untuk menyesuaikan diri apabila kerajaan secara tiba-tiba mengenakan sekatan internet dan gangguan bekalan elektrik. Kerjayanya terancam, dan ketegangan memuncak apabila rakan sekerjanya, Rakib, menyalahkan gangguan itu atas kehilangan satu projek penting bagi mendapatkan wang yang amat diperlukan untuk bil hospital ibunya. Di rumah, anak Arif, Neon, semakin resah, buntu tanpa sekolah atau internet. Ketika protes terus berlangsung, Arif dihantui mimpi-mimpi aneh yang menggambarkan kemelut di sekelilingnya. Dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian, Arif dan mereka yang rapat dengannya menghadapi cabaran yang menguji ketahanan dan harapan mereka.
Profil Pengarah

Taosin Md. Bahadurshah Zafar (24 tahun) ialah seorang pembikin filem muda yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Televisyen, Filem, dan Fotografi di Universiti Dhaka. Sebagai penerbit di Televisyen Universiti Dhaka dan Felo Keamanan bagi Films For Peace Foundation, beliau telah memperoleh pengalaman berharga dalam penciptaan kandungan dan penceritaan berimpak. Dokumentarinya “Banyan – A Silent Witness” telah memenangi anugerah di Liberation Docfest Bangladesh dan Festival Filem Keamanan pada tahun 2024. Taosin juga telah mengarah dan menyunting filem pendek seperti “Proloy – A Story of Annihilation” dan “Device” , yang memperlihatkan bakatnya dalam menyampaikan emosi mendalam serta tempo naratif yang berkesan.
Kepakarannya turut merangkumi penyuntingan dan kerja pascaproduksi, setelah terlibat dalam projek seperti “Obyakto” dan “Khacha Vangar Golpo”. Taosin percaya akan kekuatan universal filem dalam menghubungkan penonton di seluruh dunia. Sebagai Penolong Penyelidik Siswazah (Undergraduate Research Assistant, URA) di Universiti Dhaka, beliau turut terlibat dalam satu projek penyelidikan yang mengkaji kesan platform OTT di Bangladesh, ini termasuk menemubual pembikin filem ternama serta mengendalikan proses transkripsi dan semakan etika. Kertas kajian terbarunya yang meneroka Peranan AI Dalam Masa Depan Pembikinan Filem telah dipilih untuk pembentangan di Persidangan Antarabangsa Inovasi dan Transformasi untuk Pembangunan (ITD) Ke-3.
Kenyataan Pengarah
Sebagai seorang pembikin filem, saya merasakan hubungan yang amat mendalam dengan peristiwa yang berlaku semasa krisis nasional di Bangladesh pada tahun 2024. The Black Kite diinspirasikan daripada masa-masa yang mencabar itu, khususnya ketidakpastian dan kesakitan yang ramai antara kami alami semasa Pergerakan Julai. Saya sendiri melalui detik-detik itu, menyaksikan bagaimana keruntuhan sistem telah mencetuskan penderitaan peribadi dan keputusasaan kolektif. Watak utama dalam filem ini, Arif, mencerminkan perjuangan tersebut. Dia bukan sahaja bergelut dengan kehilangan akses kepada internet dan elektrik; dia turut dibebani dengan rasa putus harapan yang mendalam. Tongkat yang digunakannya menjadi simbol bagaimana negara ini sendiri terasa seperti terperangkap, tidak mampu bergerak ke hadapan akibat kuasa-kuasa luar kawalan. Gangguan komunikasi dan kecederaan yang dialami oleh Rakib mencerminkan tekanan emosi yang dirasai oleh semua, apabila kehidupan diganggu dalam pelbagai cara baik besar mahupun kecil.


Salah satu detik yang paling mengesankan dalam filem ini adalah mimpi Arif. Imej beras yang berlumuran darah dan peluru yang berjatuhan menggambarkan bagaimana kekacauan boleh menyusup masuk ke dalam aspek kehidupan biasa dan seharian. Ia menjadi peringatan bahawa dalam waktu-waktu krisis, tiada apa yang benar-benar selamat atau bebas daripada ketakutan. Pada asasnya, The Black Kite adalah sebuah kisah tentang ketahanan. Perjalanan Arif adalah tentang usaha untuk terus melangkah walaupun segala-galanya kelihatan mustahil. Neon, anak lelaki Arif yang masih muda, melambangkan generasi akan datang yang penuh dengan potensi, tetapi masih menanti peluang untuk bangkit, seperti layang-layang yang tidak mahu terbang.
Filem ini amat peribadi bagi saya kerana ia merakam perjuangan yang kami alami pada tahun 2024, sambil membawa harapan terhadap masa depan yang lebih baik. Melalui The Black Kite, saya berharap para penonton akan merenung kembali detik-detik tidak berdaya dalam hidup mereka sendiri, dan menyedari betapa pentingnya ketabahan dalam mengharungi cabaran—walau sebesar mana sekalipun.
