This post is also available in:
English
Bengali

Sinopsis
Melalui sinematografi hitam-putih yang suram, “Whispers of the Ink” mengikuti kisah Rashed, seorang artis berani yang menghasilkan kartun dan lukisan protes di media sosial dan dinding kota sewaktu gelombang protes pelajar baru-baru ini. Isterinya yang sedang hamil, Runa, walaupun berhasrat untuk turut serta dalam gerakan itu, terpaksa kekal di rumah. Ketika Runa tiba-tiba mahu bersalin dalam situasi krisis nasional, di mana perkhidmatan ambulans tidak tersedia, Rashed terpaksa keluar meredah perintah berkurung untuk mendapatkan bantuan.
Namun, di satu sekatan jalan raya, Rashed disoal siasat dengan agresif dan dipaksa membuka telefonnya. Pegawai keselamatan menjumpai lukisan-lukisan protes serta aktivitinya di media sosial, lalu terus menahannya. Runa, yang kini bersalin seorang diri, secara tidak sengaja menumpahkan botol dakwat milik Rashed ke atas salah satu lukisannya, ia satu simbol puitis bagaimana perlawanan, seperti dakwat, tetap merebak tanpa kawalan walaupun cuba ditindas. Kini, nasib Rashed dan Runa berada dalam ketidakpastian.
Profil Pengarah

Ishtiyak Ahmad Zihad (24), seorang pembikin filem muda dari Bangladesh, baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Pengajian Filem dan Media di Universiti Jatiya Kabi Kazi Nazrul Islam. Beliau memulakan perjalanan kreatifnya dengan filem pendek eksperimental “God Gift” pada tahun 2019. Sejak itu, beliau telah meneroka pelbagai naratif dalam filem-filem pendek, termasuk “Chaya Moricher Bone” (2021), sebuah filem satu penggambaran yang diinspirasikan oleh perjuangan kemerdekaan Bangladesh. Ishtiyak telah mengarah beberapa filem pendek bebas yang mendapat pengiktirafan di festival filem antarabangsa. Filemnya “Run Away” menonjol secara khusus, memenangi enam anugerah di festival-festival di Bangladesh, India, Amerika Syarikat dan England. Ulasan UK Film Review menyifatkannya sebagai “tragis yang indah.” Beliau kini telah menyiapkan filem cereka panjang pertamanya, bertajuk “The Blind Girl and An Elephant” (2025).
Kenyataan Pengarah
Sebagai pengarah “Whispers of the Ink”, visi saya adalah untuk mencipta satu pengalaman sinematik yang melangkaui kisah individu dan menjadi komentar yang lebih besar tentang kuasa seni dan penentangan dalam menghadapi penindasan politik. Berlatarkan protes pelajar Julai 2024 di Bangladesh, filem ini berakar umbi dalam perjuangan sebenar rakyat yang terperangkap di bawah kerajaan yang menindas, menutup suara rakyat dengan keganasan, penapisan, dan ketakutan.
Inti filem ini adalah hubungan antara Rashed, seorang kartunis yang meluahkan kesakitan dan kemarahan rakyat melalui seninya sebagai bentuk penentangan — dan isterinya, Runa. Melalui mereka, saya ingin meneroka pengorbanan besar yang dilakukan oleh mereka yang bangkit mempertahankan kebenaran. Runa mewakili wira-wira yang jarang diberi perhatian seperti para isteri, ibu, dan orang tersayang yang menanggung ketakutan dan ketidakpastian sambil menunggu kepulangan insan yang mereka kasihi dari jalanan.


Penggunaan dakwat secara literal dalam karya Rashed, dan secara metafora dalam detik-detik kacau protes menjadi motif yang berulang. Dakwat adalah alat ekspresi yang boleh dipadam atau disembunyikan, sama seperti keganasan protes yang ditutup oleh sekatan maklumat kerajaan. Namun, dakwat sentiasa boleh kembali ke halamannya tersendiri dengan — karya baru, suara baru, cerita baru yang muncul dari abu-abu penindasan.
Apa yang mendorong saya untuk bercerita tentang kisah ini adalah keteguhan semangat rakyat. Walaupun berdepan kekejaman dan penindasan yang tidak terbayang, rakyat tetap menemui cara untuk melawan, untuk bersuara, dan untuk memperjuangkan hak mereka untuk didengari.
